D’Sunlit adakan taklimat Pesta Pengguna ke-18

D’Sunlit adakan taklimat Pesta Pengguna ke-18

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Orang ramai sekali lagi berpeluang untuk menyaksikan pelbagai produk dan perkhidmatan menarik, inovatif dan canggih pada Pesta Pengguna Ke-18 selama lima hari bermula 25 hingga 29 Mei di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

Pesta Pengguna kali ini akan mengetengahkan lebih 400 petak pameran yang disertai lebih 180 buah syarikat dari dalam dan luar negara termasuk Malaysia, Thailand, China, Indonesia, Pakistan, Kemboja, India, Singapura dan Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, pihak penganjur, D’Sunlit Sdn Bhd telah mengadakan taklimat di Pejabat D’Sunlit di Beribi, hari ini bagi memberikan penerangan mengenai pelaksanaan pesta kepada wakil peserta.

Semasa taklimat itu, Eksekutif Pengurusan Acara, Laurence Garcia menjelaskan mengenai perkembangan terkini Pesta Pengguna ke-18 serta memberikan maklumat mengenai tarikh bagi peserta untuk menyediakan pameran mereka. Perkara lain yang diterangkan ialah tentang isu keselamatan, letak kereta serta pas yang diperlukan bagi memasuki premis pameran.

Pesta Pengguna kali ini dengan tema ‘Pesta Makanan’ menjanjikan penyertaan yang lebih ramai mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan dalam industri makanan dengan pelbagai tawaran istimewa kepada pengunjung.

Antara wakil-wakil syarikat yang akan menyertai Pesta Pengguna ke-18 ketika menghadiri taklimat berkenaan.
Antara wakil-wakil syarikat yang akan menyertai Pesta Pengguna ke-18 ketika menghadiri taklimat berkenaan.
Laurence ketika menyampaikan taklimat kepada wakil peserta.
Laurence ketika menyampaikan taklimat kepada wakil peserta.

Di antara peserta pameran yang menyerikan acara itu nanti ialah Shot fo Sugar, Cuckoo, Kopi Kocak, TAIB, Starbucks dan Brahim. Biggest Deal in Town pula akan mengadakan tawaran istimewa dan menarik untuk produk hebat kepada para pengunjung. Salah satu acara menarik semasa pesta itu nanti ialah kelas membuat kuih dan kek oleh Bake Culture dengan kerjasama Maju LSK Logistics & Foodfare Sdn Bhd dan Ji-Mart. Pendaftaran untuk menyertai kelas istimewa itu sedang dibuka dengan terma dan syarat tertentu.

Sementara itu, Hers Kitchen juga akan mengadakan acara istimewa Junior Chef Cookout dan Family Cookout bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas bersama keluarga. Borang untuk acara ini boleh diperoleh di Hers Kitchen, Kiulap.

Para peserta pameran mengambil pas Pesta untuk Pengguna ke-18.
Para peserta pameran mengambil pas Pesta untuk Pengguna ke-18.

Empat orang chef terkemuka dari Malaysia juga dijemput bagi menyerikan pesta kali ini, di mana mereka akan menunjukkan kemahiran dan teknik menyediakan pelbagai hidangan.

Selain itu, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd akan mengadakan acara Cabaran Menghias Ais Krim manakala Wonder Theme Sdn Bhd menawarkan Treasure Hunt Maze dan Bouncer Ku pula akan menawarkan Fear House.

Selain perkhidmatan dan makanan, Kedutaan Thailand akan mengadakan pertunjukan seni kebudayaan masyarakat Thailand di Dewan Plenari dan Kempen Menderma Darah pada 26 Mei bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Di samping mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan terkini, Pesta Pengguna diadakan sebagai pelantar bagi syarikat kecil dan sederhana tempatan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengguna tempatan dan luar negara. Pesta Pengguna kali ini dibuka bagi kunjungan orang ramai bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam kecuali pada 27 Mei di mana ia ditutup sementara dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

ARTIKEL YANG SAMA