D’sunlit anjur taklimat pesta pengguna

D’sunlit anjur taklimat pesta pengguna

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Sebagai persiapan bagi penganjuran Pesta Pengguna ke-17 (CF17) yang akan berlangsung pada penghujung bulan ini, D’Sunlit Sdn Bhd selaku penganjur acara lima hari berkenaan telah mengadakan taklimat bagi para peserta pesta yang diadakan di premisnya di Beribi, baru-baru ini.

Menurut kenyataan penganjur, taklimat berkenaan telah dihadiri oleh para perwakilan dari syarikat-syarikat dan pertubuhan yang akan mengetengahkan produk dan perkhidmatan terbaik serta paling popular mereka semasa acara itu nanti.

Dalam taklimat itu, mereka dimaklumkan mengenai perkembangan terkini, kebimbangan logistik, peraturan yang patut dipatuhi serta perkara yang berkaitan lain untuk memastikan pelaksanaan acara yang lancar. Di samping itu, mereka juga diberikan butiran mengenai majlis pembukaan yang akan diadakan pada sebelah petang hari pertama pesta.

CF17 akan diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas bermula 27 hingga 31 Januari ini yang akan dibukakan kepada kunjungan ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, kecuali pada 29 Januari yang akan ditutup sementara dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang bagi memberi laluan kepada sembahyang Jumaat.

Menurut kenyataan itu lagi, tema bagi Edisi ke-17 siri pesta pengguna yang popular ini adalah Life is sweet. Indulge!”, yang memfokuskan ke atas sambutan dan hadiah perayaan, yang banyak ditawarkan di pesta berkenaan.

Antara peserta yang hadir pada sesi taklimat tersebut.
Antara peserta yang hadir pada sesi taklimat tersebut.

Kira-kira 400 petak jualan akan disediakan semasa pameran itu, menawarkan produk-produk dan perkhidmatan daripada peserta tempatan dan luar negara.

Malah para pengunjung juga akan berpeluang mendapatkan tawaran eksklusif ke atas pelbagai produk dan perkhidmatan berkualiti daripada para peserta luar negara seperti dari Indonesia, Singapura, Malaysia, Thailand, India, Kemboja, Bangladesh, Taiwan dan Pakistan.

Lebih menarik, peminat Doraemon, juga akan berpeluang untuk mendapatkan pelbagai barangan watak kucing robot yang terkenal dari Jepun itu.

Pesta itu juga akan menampilkan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan pelanggan dan memberi peluang kepada mereka untuk membawa pulang berbagai-bagai hadiah menarik.

Aktiviti ‘Did you c Sairol?’ membolehkan peserta untuk memenangi jersi Manchester United yang ditandatangani oleh Angel di Maria dan Robin Van Persie, salah satu bola yang ditandatangani oleh Pasukan Manchester United atau salah satu daripada enam jersi DPMM FC yang ditandatangani oleh Sairol Sahari.

Manakala itu, pemburuan Mr. Brown pula menawarkan peluang memenangi salah satu daripada tiga hadiah utama berupa pakej pelancongan untuk mengunjungi istana-istana Mr. Brown di Taiwan dan hadiah-hadiah sagu hati berupa setahun bekalan minuman kopi atau barangan eksklusif Mr. Brown. Selain itu, para pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah-hadiah dalam pertandingan memakan mi (Mi Sedaap).

Cabutan utama Pesta Pengguna dan cabutan bertuah Kopi Kapal Api memberi peluang kepada para pengunjung untuk memenangi pelbagai hadiah hebat.

Pesta yang disokong oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu juga membolehkan para pengunjung untuk beramal dengan menderma darah dalam kempen yang akan dianjurkan oleh Jabatan Makmal Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 30 Januari dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Bagi maklumat lanjut mengenai CF17, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.bruneiconsumerfair.com, mengikuti D’Sunlit di akaun Facebook atau Instagram atau menghubungi Jabatan Pemasaran D’Sunlit di talian 2453666.

ARTIKEL YANG SAMA