D’Sunlit beri biasiswa pendidikan

D’Sunlit beri biasiswa pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – D’Sunlit Sdn Bhd telah menganugerahkan biasiswa pendidikan kepada seorang pelajar daripada keluarga ibu tunggal sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Dengan biasiswa berkenaan, Yong Wei Gait, 23, seorang warga tempatan yang berasal dari Kuala Belait, bakal menjalani latihan untuk menjadi juruterbang komersial di Eagle Flight Training Aviation School, Auckland, New Zealand.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, tanpa tajaan berkenaan, Yong tidak akan dapat merealisasikan impiannya untuk menjadi seorang juruterbang.

Penyerahan tajaan tersebut telah berlangsung kelmarin di Dewan Persidangan D’Sunlit yang disampaikan oleh Pengarah Urusan D’Sunlit Sdn Bhd, Jackson Ting dan turut dihadiri oleh ibunya yang berbangga serta adik- beradiknya yang lain.

Jackson Ting menyerahkan biasiswa pendidikan kepada Yong Wei Gait.
Jackson Ting menyerahkan biasiswa pendidikan kepada Yong Wei Gait.

Jackson dipetik sebagai berkata; “Saya menggalakkan orang ramai untuk menunjukkan keprihatinan apabila masyarakat memerlukan, kepada mereka yang berusaha untuk berjaya dan mencari peluang-peluang untuk merubah masa depan mereka”.

Menurut kenyataan itu lagi, ini bukanlah kali pertama D’Sunlit membiayai pelajar yang mempunyai latar belakang pendidikan kuat yang kekurangan sokongan kewangan, malah syarikat itu juga kerap memberi sumbangan kepada masyarakat dalam pelbagai aspek.

D’Sunlit, dalam kenyataannya, turut menyatakan harapan bahawa pembiayaan para pelajar dan inisiatif-inisiatif CSR lain akan membantu menggalakkan syarikat-syarikat lain untuk mengikut jejaknya.

Selain itu, mereka juga berharap supaya penerima program biasiswa berkenaan akan meneruskan putaran amalan baik dalam masyarakat.

Yong dipetik melahirkan penghargaan kepada Jackson dan berjanji untuk berusaha keras bagi keluarganya.

“Saya juga akan membalas jasa Jackson Ting dengan memberi balik kepada masyarakat pada masa depan apabila saya mampu melakukannya,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA