Dua ahli politik diberkas

Dua ahli politik diberkas

MANILA, 21 Sept (AFP) – Dua ahli politik Filipina yang dikehendaki berhubung pembunuhan seorang pejuang anti rasuah terkenal, telah diberkas di Thailand setelah lebih tiga tahun menjadi buruan, menurut pejabat presiden hari ini.

Joel Reyes, bekas gabenor Pulau Palawan dan saudara kandungnya, Mario, bekas datuk bandar, telah ditahan di pulau percutian Phuket, Thailand semalam, menurut jurucakap presiden, Herminio Coloma.

Adik-beradik dari keluarga Reyes itu berdepan dakwaan membunuh berhubung kematian Gerry Ortega pada tahun 2011, seorang aktivis persekitaran Palawan terkenal yang juga menggunakan rancangan radio yang dia menjadi hosnya untuk kerap menuduh keluarga Reyes terlibat dengan rasuah besar.

“Penangkapan mereka yang lama dikehendaki ini memberi peluang bagi mencari keadilan,” Coloma berkata dalam satu kenyataan.

Dia berterima kasih kepada Interpol dan polis Thailand di atas bantuan mereka dalam menangkap keluarga Reyes, tetapi tidak memberi butiran lanjut.

Gambar menunjukkan dua ahli politik Filipina yang dikehendaki berhubung pembunuhan seorang pejuang anti rasuah terkenal Filipina. - AFP
Gambar menunjukkan dua ahli politik Filipina yang dikehendaki berhubung pembunuhan seorang pejuang anti rasuah terkenal Filipina. – AFP

Ortega ditembak di bahagian kepalanya dari jarak dekat ketika membeli belah di bandar Palawan, sebuah pulau dikenali sebagai sempadan persekitaran terakhir Filipina, tetapi yang berdepan dengan pembalakan dan perlombongan haram dan penangkapan ikan berlebihan.

Kira-kira 168 orang wartawan atau pekerja media dibunuh sejak kembalinya demokrasi di Filipina dalam tahun 1986, tetapi hanya 13 kes telah menyaksikan penyabitan bunuh, menurut kumpulan media tempatan.

Patty Ortega, balu aktivis yang telah dibunuh, memberitahu AFP pasukan khas yang telah ditugaskan untuk menangkap pelarian yang menonjol itu telah memaklumkannya tentang penangkapan itu. Dia melahirkan rasa lega tetapi juga berkata dia bimbang sama ada adik-beradik Reyes itu masih boleh mengelak pengadilan.

“Saya mahu melihat mereka digari dan berdepan mahkamah dan dipenjarakan.”