Dua ahli PPPMB sertai kursus di China

Dua ahli PPPMB sertai kursus di China

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Persatuan Peniaga-peniaga Melayu Brunei (PPPMB) berharap usahanya membuka peluang ahli usahawan baru menimba pengetahuan melalui kursus dan seminar di Republik Rakyat China dapat digunakan untuk membina jaringan hubungan, rangkaian kerja dan rakan kongsi dengan usahawan negara itu.

Setelah kembali ke tanah air, para usahawan muda yang setakat kini mencecah tujuh orang itu pula diharap dapat memanfaatkan ilmu kemahiran yang dipelajari itu dalam perniagaan masing-masing atau mencurahkan segala yang mereka pelajari kepada usahawan muda PPPMB.

Harapan itu disuarakan oleh Presiden PPPMB, Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Chuchu ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat jalan kepada ahli PPPMB keenam dan ketujuh yang berlepas ke Nanjing bagi menyertai seminar selama 20 hari di bawah tajaan kerajaan China.

Awang Abdul Hafiz bin Haji Abdul Manan, 27, dan Haji Zupri bin Haji Khamis menerima tawaran untuk mengikuti Seminar Kualiti dan Keselamatan Produk Pertanian Bagi Negara Membangun anjuran Universiti Pertanian Nanjing yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan China.

Dr. Haji Abdul Latif berkata, hubungan erat persatuan tersebut dengan kerajaan China terutama pejabat Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam yang terjalin lebih 10 tahun lalu menjadi pendorong utama yang membolehkan negara kuasa besar itu berkongsi pengalaman dan teknologi.

Dr. Haji Abdul Latif (dua, kanan) diapit oleh Awang Abdul Hafiz dan Haji Zupri sebelum berlepas ke Nanjing.
Dr. Haji Abdul Latif (dua, kanan) diapit oleh Awang Abdul Hafiz dan Haji Zupri sebelum berlepas ke Nanjing.

“Saya percaya hubungan baik yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam dengan Republik Rakyat China membolehkan usahawan muda negara ini mempelajari teknologi termoden dalam bidang pertanian dan memahami aspek-aspek perniagaan yang mereka jalankan,” kata beliau.

Kepada semua ahli PPPMB yang berpeluang mengikuti program itu, beliau berharap supaya mereka dapat menjalin hubungan dengan usahawan tempatan dan akhirnya dapat mengembangkan perniagaan di luar negara atau menarik minat usahawan China untuk membuat pelaburan di negara ini.

Haji Zupri pula berkata, program itu diadakan tepat pada masanya ketika usahawan Negara Brunei Darussalam sedang menerokai bidang-bidang perniagaan yang baru untuk diceburi terutama dalam bidang pertanian.

“Saya berharap setelah menghadiri seminar ini, kami akan dapat merancang perniagaan kami dengan lebih sistematik supaya dapat mendorong kami dan mereka yang bercadang untuk menceburi bidang pertanian sebagai kerjaya perniagaan,” kata beliau.

Seminar selama 20 hari itu memberikan pengetahuan mengenai teknologi pertanian yang dijalankan di China, kualiti produk dan benih yang digunakan, cara memproses dan menyimpan serta memastikan keselamatan produk dan kaedah terbaik pengurusan produk dan ladang pertanian.

ARTIKEL YANG SAMA