Dua anak orang utan Sumatera seludup dihantar ke Indonesia

Dua anak orang utan Sumatera seludup dihantar ke Indonesia

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Sepasang anak Orang Utan yang diselamatkan dalam Ops Taring III pada Julai lepas akan dihantar ke habitat asalnya di Indonesia esok.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Abdul Kadir Abu Hashim berkata Bob dan Citra yang berumur kurang setahun itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Medan, Indonesia pada pukul 9 pagi.

“Kedua-dua anak Orang Utan itu akan menjalani proses rehabilitasi di Balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam Sumatera Utara (SOCP), Indonesia sebelum dilepaskan ke habitat asalnya.

“Kos penghantaran balik ini ditanggung oleh pihak Indonesia manakala Malaysia Airlines Kargo menaja kos penerbangan,” katanya kepada pada sidang berita di pejabatnya di sini hari ini.

Kedua-dua Orang Utan itu dari spesies ‘Orang Utan Sumatera’ (Pongo Abelii) yang diklasifikasikan sebagai spesies amat terancam, dan harga mereka berdua di pasaran mampu mencecah RM40,000, katanya.

Dua ekor orang utan, Citra dan Bob, yang dirampas dari aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram dalam OP TARING III pada julai lalu di Klang, Selangor akan dihantar balik esok ke Medan, Indonesia negara asal spesies tersebut. Perkara ini dinyatakan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhili-tan Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim pada sidang media hari ini. - Bernama
Dua ekor orang utan, Citra dan Bob, yang dirampas dari aktiviti perdagangan hidupan liar secara haram dalam OP TARING III pada julai lalu di Klang, Selangor akan dihantar balik esok ke Medan, Indonesia negara asal spesies tersebut. Perkara ini dinyatakan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perhili-tan Semenanjung Malaysia, Abdul Kadir Abu Hashim pada sidang media hari ini. – Bernama

Kedua-dua Orang Utan itu dijumpai pada 27 Julai lepas disumbat dalam sebuah beg pakaian, yang dipercayai diseludup dari Medan, Indonesia, dan berjaya diselamatkan daripada dijual sebagai haiwan peliharaan di negara ini.

Seramai empat lelaki, termasuk dua warga Indonesia, ditahan atas kesalahan memiliki Orang Utan tidak matang tanpa permit khas.

Abdul Kadir berkata dalam tempoh 2005 sehingga sekarang sebanyak 15 ekor Orang Utan telah dihantar ke Indonesia melibatkan empat penghantaran. – Bernama