Dua anggota ABDB terima hidayah

Dua anggota ABDB terima hidayah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 16 Sept – Dua anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup baru mereka dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman yang diadakan di kediaman masing-masing.

50834 Sld Azuwan bin Zainin, anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah melafazkan ikrar pengakuan pengislamannya dengan memilih nama barunya sebagai Awang Muhammad Azuwan bin Zainin, di Kampung Bukit, Bang Dalam, Lamunin, Tutong, petang tadi.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah TDDB, Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir ialah pemangku pegawai Daerah Tutong, penghulu Mukim Lamunin dan ketua Kampung Bang Dalam, serta pegawai-pegawai kanan ABDB, pegawai Pusat Dakwah Islamiah Daerah Tutong dan keluarga.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang diteruskan dengan lafaz syahadah di hadapan Pegawai Pengislaman Pusat Dakwah Islamiah serta diserikan dengan laungan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai serta penyampaian cenderahati kepada saudara baru.

Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan ketika menyaksikan majlis pengislaman Awang Azuwan.
Brigedier Jeneral Pengiran Dato Seri Pahlawan Aminan ketika menyaksikan majlis pengislaman Awang Azuwan.
50834 Sld Azuwan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya petang tadi di Kampung Bukit, Bang Dalam.
50834 Sld Azuwan telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dan ikrar pengakuan pengislamannya petang tadi di Kampung Bukit, Bang Dalam.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Penolong Ketua Jabatan Agama ABDB, Mejar Ariffin bin Amit.

Awang Azuwan ketika ditemu bual menjelaskan beliau sudah lama berminat dalam agama Islam sejak kecil lagi dan pengaruh Islam dalam hidupnya sudah pun wujud lama dalam diri beliau.

Beliau juga ingin menyatakan penghargaan kepada ibu bapanya yang memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya untuk memilih Islam sebagai pegangan hidupnya.

Sementara itu, majlis pengislaman 50662 Ls Sherul bin Imbaran, seorang anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) telah berlangsung di kediaman ibu bapanya di Kampung Sungai Damit, Pemadang, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan pengislaman Awang Sherul ialah Pemerintah TLDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.

Turut hadir bagi menyerikan lagi majlis tersebut ialah pemangku penolong pegawai Daerah Tutong, penghulu Mukim Bukit Udal dan ketua Kampung Sungai Damit, pegawai-pegawai kanan ABDB, pegawai Pusat Dakwah Islamiah Daerah Tutong dan keluarga.

50662 Ls Sherul kini dikenali sebagai Awang Muhammad Sherul bin Abdullah Imbaran dan kedua-dua saudara baru itu merupakan anggota ABDB yang kelima dan keenam memeluk agama Islam bagi tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA