Dua beradik raih gangsa di Sukma

Dua beradik raih gangsa di Sukma

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Pasangan adik beradik Hyde Nachman dan Hyde Nathania semalam mencatatkan kejayaan apabila meraih pingat gangsa di dalam temasya Sukan Malaysia ke-18 di Sarawak, Malaysia dalam Sukan Tekwando di dalam disiplin Poomsae individu.

Hyde Nachman meraih markah 7.04 dengan perbezaan 0.8 markah di belakang pemenang pingat perak daripada Selangor Darul Ehsan yang berjaya meraih 7.12 mata, sementara juara dalam sukan tersebut dimenangi oleh peserta tuan rumah dengan 7.69 mata.

Manakala Hyde Nathania pula berjaya meraih gangsa dalam acara individu wanita dengan 7.11 mata dengan perbezaan 0.06 mata di belakang penerima pingat perak dari Johor Darul takzim, diikuti tuan rumah yang tampil meraih pingat emas dengan 7.38 mata.

Pasangan adik beradik Hyde Nachman dan Hyde Nathania meraih pingat gangsa dalam sukan Tekwando.
Pasangan adik beradik Hyde Nachman dan Hyde Nathania meraih pingat gangsa dalam sukan Tekwando.

Meskipun berjaya di dalam bahagian individu, pasangan adik beradik berkenaan tidak berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam acara campuran apabila hanya mampu mencatatkan markah sebanyak 6.69 secara keseluruhan.

Sementara itu seorang lagi peserta negara di dalam Welter 74-80 Kilogram, Muhd Ameerul Solehen bin Mohd kasim juga tewas hari ini di tangan pemenang pingat emas daripada Wilayah Persekutuan peringkat suku akhir. Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan berada di takhta pungutan pingat dengan tujuh emas, enam perak dan tiga gangsa diikuti tuan rumah Sarawak dengan enam emas, tujuh perak dan empat gangsa, sementara Pulau Pinang berada di tempat ketiga dengan lima emas dan empat gangsa.

ARTIKEL YANG SAMA