Dua beranak maut dirempuh go-kart

Dua beranak maut dirempuh go-kart

KUANTAN, 25 Sept – Dua beranak maut akibat dirempuh oleh kenderaan go-kart ketika sedang menyaksikan Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini awal hari ini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Pahang Supt Mohd Noor Yusof Ali mengesahkan seorang bapa, Izwan Isa, 39, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak perempuannya Nur Zulaikha, 4, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Seorang lagi anak Izwan, Muhammad Izz Danial, 7, yang tercedera dalam kejadian itu masih dirawat di hospital berkenaan dan dilaporkan stabil.

Dalam kemalangan jam 11:30 pagi itu, Izwan yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Gebeng, bersama isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, dan dua anak mereka serta beberapa penonton lain difahamkan menyaksikan perlumbaan dalam kawasan ‘line race’ dengan hanya dipisahkan oleh penghadang plastik.

Kesemua mangsa dilaporkan tidak sempat melarikan diri apabila go-kart itu tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebahagian daripada mereka.

Bagaimanapun, sehingga lewat petang ini masih belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung punca sebenar kemalangan tersebut dan jumlah sebenar mangsa.

Usaha wartawan di lokasi untuk menemubual pemandu go-kart berkenaan iaitu seorang lelaki berusia awal 20an dipercayai pelajar sebuah institusi pengajian tinggi, gagal apabila dihalang oleh pihak polis yang kemudian membawanya bersama beberapa orang saksi ke balai polis untuk diambil keterangan.

Kejohanan EIMARace itu merupakan kali kedua diadakan di sini dan ia adalah medan untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, mencipta dan menguji kenderaan serta enjin go-kart rekaan mereka menerusi dua kategori yang dipertandingkan iaitu enjin 131cc dan 250cc.

Kejohanan anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan kerajaan negeri Pahang menerusi agensi Pelancongan Pahang itu disertai oleh 51 pasukan dari IPT seluruh negara.

Ekoran kemalangan berkenaan, kesemua acara perlumbaan termasuk penyampaian hadiah dan upacara perasmian penutup oleh Menteri Besar Yang Berhormat Datuk Seri Adnan Yaakob dijadualkan pukul 3 petang tadi telah dibatalkan. – Bernama