Dua bilik darjah SR Telisai terbakar

Dua bilik darjah SR Telisai terbakar

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 10 Julai – Dua buah bilik darjah di Sekolah Rendah (SR) Telisai, Daerah Tutong mengalami kerosakan dalam dua kejadian kebakaran kecil berasingan yang berlaku dalam tempoh beberapa jam awal pagi tadi.

Dalam kejadian pertama, Pasukan Bomba dan Penyelamat telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3:27 pagi dan mengejarkan sebuah jentera bomba dengan lima orang anggota dari cawangan Balai Bomba Bukit Beruang, Tutong dengan diketuai oleh ASO Haji Abdul Aziz.

Menurut laporan Balai Bomba Bukit Beruang, ketika tiba di tempat kejadian pada jam 3:44 pagi, kebakaran tersebut hanya melibatkan sebuah bilik darjah di tingkat bawah bangunan satu tingkat sekolah berkenaan.

Hadir di tempat kejadian kebakaran pertama ialah Stesen Komander Balai Bomba Bukit Beruang, Pegawai Balai Awang Yahya bin Sahat, serta Timbalan Pegawai Balai Bahrin bin Haji Mohammad Noor dan ABKS 162 Yalil bin Metamit dari Unit Penyiasatan dan Pencegah Kebakaran.

Kemudian, pada jam 6:49 pagi, Balai Bomba Bukit Beruang sekali lagi menerima panggilan kebakaran di sekolah yang sama dan berkejar ke tempat kejadian pada jam 7:08 pagi.

ATAS & BAWAH: Gambar daripada WhatsApp menunjukkan salah sebuah bilik darjah yang terjejas dalam kejadian berkenaan.
ATAS & BAWAH: Gambar daripada WhatsApp menunjukkan salah sebuah bilik darjah yang terjejas dalam kejadian berkenaan.

p06-2_20160711

Mengikut laporan yang diberikan, kejadian kedua juga melibatkan kebakaran kecil di salah sebuah bilik darjah di bahagian banglo Blok Al-Falah.

Turut bergegas ke tempat kejadian ialah Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Ketua Kampung Telisai, Awang Maidin bin Abdul Wahid.

Kedua-dua kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala itu punca kebakaran serta kerugian masih lagi dalam siasatan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Daerah Polis Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA