Dua bot karam, ratusan penghijrah dikhuatiri maut di perairan Libya

Dua bot karam, ratusan penghijrah dikhuatiri maut di perairan Libya

DAMSYIK/LONDON, 28 Ogos – Dua bot membawa penghijrah karam di perairan Libya, dengan beratus-ratus orang dikhuatiri maut, menurut laporan berita hari ini.

Lebih 100 mayat sudah dibawa ke hospital di bandar berhampiran Zuwara di barat pantai Libya, lapor BBC yang memetik penduduk tempatan, dengan beratus-ratus orang lagi hilang.

Pengawal pantai berupaya menyelamatkan 201 orang, tetapi ramai yang lain masih terperangkap, kata laporan itu.

Bot yang pertama, dengan kira-kira 50 penumpang, menghantar isyarat memohon bantuan semalam.

Bot yang kedua membawa kira-kira 400 penumpang apabila ia karam kemudiannya, katanya.

Mayat-mayat yang dibawa ke hospital adalah penghijrah dari Syria, Bangladesh dan negara-negara selatan Afrika, para penduduk dilaporkan memberitahu BBC.

Pada Rabu lepas, kira-kira 17 penghijrah mati lemas selepas bot mereka karam di perairan yang sama. Pengawal pantai berkata 20 orang selamat, kebanyakannya dari Nigeria dan Ghana.

Pada hari yang sama, kira-kira 30 mayat ditemui dari bahagian badan kapal yang membawa kira-kira 400 penghijrah, di pintas 50 kilometer di utara Libya, menurut pengawal pantai Itali.

Setakat ini tahun ini, lebih 2,000 penghijrah meninggal dunia ketika cuba menyeberangi laut lepas ke Eropah, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dengan berpuluh-puluh ribu tiba di Itali dan Greece.

Sejumlah besar penghijrah menyabung nyawa menyeberangi laut lepas ketika mereka melarikan diri daripada peperangan, penindasan dan kemiskinan di Timur Tengah, selain Afrika dan Asia. – dpa