Dua cedera serangan bom di Narathiwat

Dua cedera serangan bom di Narathiwat

NARATHIWAT, 4 Mac (Bernama) – Dua anggota keselamatan sukarela tempatan cedera dalam satu serangan bom di Jalan Tanjung Mas-Marubotok di sini, hari ini, kata polis tempatan.

Ketua Polis Daerah Ranget Kolonel Pakdee Prechacon berkata kejadian kira-kira 08:20 pagi itu berlaku semasa lapan sukarelawan dan empat anggota tentera melakukan rondaan keselamatan di kawasan guru.

“Sebutir bom seberat lima kilogram yang diletakkan di tepi jalan berkenaan telah diletupkan menggunakan walkie talkie. Sejurus letupan itu, berlaku insiden tembak-menembak selama 10 minit antara pasukan keselamatan dan individu tidak dikenali,” katanya kepada media di sini.

Susulan kejadian itu, katanya dua sukarelawan berkenaan cedera ringan di kaki manakala individu tidak dikenali itu melarikan diri.

Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin pula berkata seramai 300 anggota keselamatan dikerah ke lokasi kejadian dan mengepung beberapa kampung berhampiran dalam usaha memburu mereka yang terlibat dengan serangan itu.

Berikutan kejadian itu, polis menahan 10 orang bagi membantu siasatan, katanya.

Lewat petang semalam, seorang bekas pegawai tinggi polis Selatan Thailand, yang berusia 83 tahun, maut ditembak individu tidak dikenali ketika berbasikal di Jalan Jabi-Kerisek, Pattani.

Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa memberitahu media hari ini mangsa ditembak di kepalanya dari jarak dekat sebelum mayatnya dibakar.

ARTIKEL YANG SAMA