Dua didakwa di bawah Seksyen 22 A

Dua didakwa di bawah Seksyen 22 A

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Dis – Dua warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, di bawah Seksyen 22 A, Akta Penyalahgunaan Dadah.

Timbalan Pendakwa Raya Hajah Atiyyah binti PD Haji Abas memohon kepada mahkamah menahan reman Suhaili bin Haji Saidin, 43, dan Nurul Hazimah binti Haji Januiddi, 27, di Balai Polis Pusat untuk memberikan keterangan dan pengambilan sampel darah.

Seksyen 22 A, Akta Penyalahgunaan Dadah membolehkan tangkapan dibuat bagi mana-mana individu yang dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah untuk dihadapkan ke mahkamah tanpa berdepan pertuduhan.

Dalam bilik mahkamah, Nurul Hazimah memberitahu Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin bahawa dia mempunyai tujuh orang anak, dan masih lagi menyusukan anak yang paling kecil.

“Barang itu bukan milik saya,” katanya sambil mendakwa dirinya tidak bersalah.

“Kamu belum lagi didakwa,” kata Majistret Kanan sambil menambah defendan hanya dihadapkan ke mahkamah kerana perbuatannya disangsikan oleh pegawai Biro Kawalan Narkotik.

Nurul Hazimah memberitahu bahawa Suhaili hanyalah rakannya ketika ditanya oleh Majistret Kanan mengenai hubungan mereka.

Mereka ditangkap di sebuah hotel di Jerudong pada 7 Disember.

Majistret Kanan mengarahkan kedua-dua defendan untuk ditahan reman selama sehari di Balai Polis Pusat, dan menetapkan 10 Disember untuk sebutan.