Dua didakwa palsukan cukai jalan

Dua didakwa palsukan cukai jalan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160905_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – “Saya dipaksa oleh ‘Aziz’ untuk memalsukan cukai jalan dan jika tidak berbuat demikian, saya akan dicederakan di hadapan anak-anak,” dakwa seorang perempuan tempatan di Mahkamah Majistret, semalam.

Noornieshah Rewana binti Haji Junit dan Haffizan bin Abd Aziz didakwa memalsukan satu cukai jalan seolah-olah ianya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) untuk kereta milik Haffizan sekitar Ogos 2016.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 466 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara yang boleh dilanjutkan sehingga tujuh tahun, dan juga boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Amiriah binti Haji Ali memohon penangguhan selama sebulan sementara menunggu laporan dari JPD dan forensik komputer, dan membantah ikat jamin diberi kepada Noornieshah atas sebab dikhuatiri tertuduh akan melakukan kesalahan yang serupa jika dilepaskan dengan ikat jamin.

Noornieshah sebelum ini pernah diberkas pada 12 Januari tahun ini kerana memiliki sebanyak 25 cukai jalan palsu, kata Timbalan Pendakwa Raya namun tidak membantah untuk Haffizan dilepaskan dengan ikat jamin. Dalam sebutan, Noornieshah memohon untuk diberikan ikat jamin kerana empat orang anaknya yang berusia antara lapan hingga 15 tahun akan menduduki peperiksaan dan memerlukannya.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Badaruddin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin $5,000 atau dua orang penjamin tempatan setiap seorang dan pasport mereka ditahan, dan menetapkan 3 Oktober untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA