Dua dihukum penjara sabit curi kabel

Dua dihukum penjara sabit curi kabel

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

pg06_150710_mahkamah logoKUALA BELAIT, 9 Julai – Mahkamah Majistret Kuala Belait, hari ini, telah menjatuhi hukuman penjara ke atas dua orang lelaki tempatan kerana didapati bersalah mencuri kabel di Anduki dan Lorong 2 milik Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dalam kejadian tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh berkenaan, masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan 15 bulan oleh Majistret Kuala Belait Harinta Zelda Skinner, setelah mereka mengaku bersalah mencuri kabel pembumian di Stesen Janakuasa Elektrik di Jalan Anduki pada 4 Julai 2014.

Bagaimanapun, Ali Hassan Ajak menerima hukuman penjara lebih lama berserta empat kali sebatan, ekoran didapati bersalah atas tiga tuduhan tambahan kerana merosakkan kabel pada hari yang sama, serta merosakkan dan mencuri kabel kali kedua di lokasi berasingan pada akhir bulan itu.

Pihak pendakwa telah memanggil 12 orang saksi untuk membuktikan kes mereka, termasuk orang yang memberi keterangan bahawa kedua-dua tertuduh telah cuba menjual kabel yang dicuri itu.

Kedua-duanya telah merayu supaya hukuman mereka itu ditangguhkan sehingga selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang tinggal kurang seminggu sahaja lagi, tetapi permohonan mereka telah ditolak.

Ini merupakan kesalahan curi pertama Ali Hassan, manakala itu, Rizlan Tajuddin adalah pesalah berulang yang sebelum ini telah dijatuhi hukuman denda sejumlah $600 pada tahun 1997 juga atas kesalahan mencuri.

Di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan, melakukan kerosakan boleh membawa kepada dua kali sebatan dan penjara lebih lima tahun, manakala kesalahan mencuri di bawah Seksyen 379 membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun.

ARTIKEL YANG SAMA