Dua dipilih lanjut pengajian di UK Sept ini

Dua dipilih lanjut pengajian di UK Sept ini

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Dua orang penuntut Brunei telah dipilih untuk menerima biasiswa Chevening bagi sesi 2016-2017 untuk melanjutkan pengajian sarjana di United Kingdom (UK) bermula September nanti.

Dua orang penuntut sarjana berkenaan ialah Awang Azizul Azri bin Haji Majit dan Dayang Khairunnisa binti Ash’ari, yang mana kedua-dua penerima diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya British ke Negara Brunei Darussalam, Kota Batu, kelmarin.

Di majlis berkenaan, kedua-dua orang penerima berpeluang untuk beramah-mesra dengan Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, David Campbell.

Campbell memberitahu bahawa beliau amat berbesar hati kerana dua orang penerima biasiswa Chevening bagi 2016 merupakan calon yang cemerlang di mana kedua-duanya akan melanjutkan pengajian mereka dalam bidang alam sekitar dan isu-isu pembangunan mapan yang merupakan isu penting global.

Beliau yakin bahawa menerusi pengajian mereka itu nanti, mereka akan berpeluang untuk memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negara apabila mereka kembali ke Brunei nanti.

Dua penerima biasiswa Chevening ketika bergambar bersama David Campbell.
Dua penerima biasiswa Chevening ketika bergambar bersama David Campbell.

Pada masa yang sama, Campbell juga berkata bahawa permohonan untuk Biasiswa Chevening bagi sesi 2017/2018 kini dibuka bagi permohonan warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.

Calon-calon yang sesuai adalah mereka yang mempunyai sekurang-kurang dua tahun pengalaman kerja serta mempunyai rekod pencapaian cemerlang dan menunjukkan kualiti kepimpinan.

Awang Azizul Azri yang bertugas sebagai Pegawai Pentadbiran Gred 1 di Jabatan Belia dan Sukan akan melanjutkan pengajian dalam Sarjana Sains Kemapanan dan Pengurusan di Royal Holloway, University of London.

Sementara itu, Dayang Khairunnisa yang merupakan Pengasas Bersama dan Pengarah Penglibatan Komuniti Green Brunei akan melanjutkan pengajian Sarjana dalam Alam Sekitar, Politik dan Globalisasi di King’s College, London.

Awang Azizul Azri ketika mengulas mengenai biasiswa itu, menyatakan perasaan gembira dan terharu kerana dipilih untuk menerima biasiswa itu serta untuk menjadi sebahagian daripada komuniti Chevening iaitu sebuah rangkaian pemimpin dan individu yang cemerlang.

Beliau berkata, dalam pengajiannya itu, beliau akan menumpukan kepada isu mengenai kemapanan dan bagaimana isu-isu kemapanan diintegrasikan ke dalam pengurusan dan urus tadbir yang baik.

Beliau juga berharap untuk meneroka bagaimana perniagaan dan kemapanan dapat bekerjasama untuk mencapai matlamat yang lebih besar.

Setelah menamatkan pengajiannya nanti, beliau akan terlibat dalam membangunkan dasar-dasar yang menjurus kepada pembangunan sosial dan ekonomi mapan terutama menerusi keusahawanan dalam kalangan belia negara.

Sementara itu, Dayang Khairunnisa pula berkata bahawa pengalamannya bekerja dengan Green Brunei adalah hasil daripada penyertaannya dalam pelbagai persidangan dan latihan di luar negara di mana dengan pemberian biasiswa itu, beliau yakin ia memberikannya peluang untuk mengukuhkan lagi ilmu pengetahuannya dalam bidang alam sekitar serta mampu untuk menyumbang kepada pelaksanaan tindakan yang lebih baik pada masa akan datang.

Tambahnya lagi, impak perubahan iklim yang semakin ketara, memerlukan usaha serantau yang lebih kuat untuk menangani isu berkenaan. Beliau yakin bidang pengajian yang diambilnya itu yang memberikan tumpuan kepada bidang politik dan globalisasi akan memberikan sumbangan yang lebih kukuh dalam isu itu.

Bagi yang berminat memohon Biasiswa Chevening 2017/2018, bolehlah melayari laman sesawang www.chevening.org/Brunei, dengan tarikh tutup bagi menghantar permohonan ialah 8 November nanti.

ARTIKEL YANG SAMA