Dua guru maut dalam kejadian bot karam di Kota Belud

Dua guru maut dalam kejadian bot karam di Kota Belud

KOTA BELUD, 21 Ogos – Dua orang guru mati lemas dalam insiden bot karam yang dinaiki 10 individu ketika dalam perjalanan dari Kampung Rampayan Laut menuju Pulau Mantanani dekat sini petang tadi.

Jurucakap Balai Bomba Kota Belud berkata mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu ialah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Mantanani, Limun Gamburud dan seorang lagi guru sekolah berkenaan Kamariah Hamdan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sementara lapan lagi sedang dirawat di Hospital Kota Belud,” katanya kepada Bernama.

Balai Bomba Kota Belud menerima maklumat mengenai kejadian itu padajam 3.45petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian kira-kira 25 minit kemudian. Operasi menyelamat tamat pada jam 7.25 malam.

Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad, Mohd Mustazar Bundah yang merupakan saudara kepada Kamariah begitu terkejut dengan kejadian itu. Beliau berkata saudaranya itu baharu sahaja ditukarkan ke sekolahberkenaan dari Sekolah Kebangsaan Nahaba.

“Kali terakhir saya berkesempatan bertanya mengenai suasana mengajar di sana (SK Mantanani). Menurut beliau setiap tempat dan sekolah ada cabaran dan dugaan kepada seorang guru,” katanya.

Kamariah meninggalkan empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan. – Bernama