Dua hotel Baghdad dilanda bom kereta

Dua hotel Baghdad dilanda bom kereta

BAGHDAD, 29 Mei (AFP) – Jumlah kematian akibat letupan bom kereta yang melanda di tempat letak kenderaan dua buah hotel yang berprofil tinggi di Baghdad telah meningkat sekurang-kurangnya sembilan orang dan berpuluh lagi cedera, menurut pegawai hari ini.

Polis berkata, letupan berlaku sebelum tengah malam waktu tempatan (2100 GMT) dan letupan kedengaran di seluruh pusat bandar raya, di dalam kawasan bertembok hotel Ishtar dan Babylon di tengah Baghdad.

Letupan di Ishtar – bekas hotel Sheraton – menyebabkan tingkap pecah di hotel yang baru diubah suai, selain mengakibatkan satu barisan kereta dan SUV rosak teruk terkena serpihan besi.

Kekuatan letupan itu telah menterbalikkan beberapa buah kereta ke tepi dan beberapa buah lagi terbakar, musnah dan cermin pecah. Lebih 15 buah kenderaan pula rosak teruk.

Hotel Ishtar adalah tempat popular bagi majlis-majlis keraian, perkahwinan dan kawasan itu turut menempatkan sebuah kelab, manakala Hotel Palestine sering dibanjiri pengunjung pada malam Khamis.

Pihak keselamatan Iraq memeriksa bangkai kereta akibat letupan bom kereta di letak kereta hotel Babylon di Baghdad yang telah meragut sekitar sembilan jiwa. – AFP
Pihak keselamatan Iraq memeriksa bangkai kereta akibat letupan bom kereta di letak kereta hotel Babylon di Baghdad yang telah meragut sekitar sembilan jiwa. – AFP

Seorang lelaki bernama Raad, yang berdiri berhampiran tapak letupan di Ishtar mengatakan ia adalah salah satu tempat yang paling selamat bagi kedua-dua warga asing dan Iraq, namun pengeboman boleh berlaku di sini.

“Ia bermaksud bahawa tidak ada keselamatan,” katanya.

Meskipun pengeboman itu, sekuriti di pintu masuk ke kawasan Ishtar masih lagi kurang ketat, dan salah seorang lelaki memberitahu pengawal bahawa ‘prosedur sama’ telah ditempatkan sebelumnya namun gagal untuk menghentikan serangan itu.

Satu lagi letupan berlaku di tempat letak kenderaan di Hotel Babylon, satu tempat kunjungan popular dan juga baru diubah suai, hotel yang menghadap Sungai Tigris di kejiranan Jadriya.

Polis berkata, pengawal keselamatan bagaimanapun berjaya menemui satu bom kereta di Hotel Babylon sebelum dimatikan.

Letupan di Babylon mengakibatkan lubang di suatu bahagian hotel tersebut dan memecahkan cerminnya. Sebuah trak dapat dilihat membawa kereta terbakar dari kawasan letak kereta hari ini, sementara kenderaan yang rosak masih lagi di tempat berkenaan.