Dua jaguh Perancis menang mudah

Dua jaguh Perancis menang mudah

MONTREAL, 12 Ogos – Bendera Perancis berkibar megah apabila dua wakil dari negara itu Gilles Simon serta Gael Monfils berjaya ke pusingan kedua Piala Rogers semalam.

Kedua-dua pemain Perancis itu menang straight set ke atas lawan masing-masing tetapi seorang lagi, Jo-Wilfried Tsonga terpaksa menangguhkan perlawanan pusingan pertamanya kerana hujan lebat ketika mendahului Borna Coric 2-1 dalam set pembukaan.

Monfils hanya memerlukan kira-kira sejam untuk menyingkirkan Fabio Fognini 6-3, 6-1 dan langsung tidak memberikan pemain Itali itu mata break.

“Saya mahu memulakan kejohanan ini dengan baik. Ini bukan satu perlawanan yang bagus, cuma saya tidak beraksi terlalu teruk. Saya bermain dengan mantap. Itu sangat penting untuk saya,” kata Monfils.

Sementara itu, pemain pilihan kesembilan Simon melebarkan rekod bersihnya ke atas Andreas Seppi kepada 5-0 selepas menang 6-2, 6-4. Simon mematahkan servis Seppi tiga kali dan tidak kehilangan servisnya.

Tsonga sedang mendahului 2-1 dalam set pertama ketika menentang Coric apabila permainan dihentikan. Juara bertahan itu kini jatuh ke kedudukan ke-24 dunia, ranking terendah didudukinya sejak melonjak naik selepas pencapaiannya dalam Terbuka Australia 2008.

Dalam perlawanan lain, pemain Sepanyol, Tommy Robredo menumpaskan Feliciano Lopez 6-3, 3-6, 6-3 manakala Sam Querrey menewaskan Martin Klizan 6-3, 6-3 dan Ivo Karlovic menyingkirkan Jerzy Janowicz 6-4, 7-6 (8/6).

Novak Djokovic, Rafael Nadal serta Andy Murray mendapat bye dalam pusingan pertama. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA