Dua jambatan gantung dibina semula

Dua jambatan gantung dibina semula

KOTA KINABALU, 10 Ogos (Bernama) – Kerajaan negeri akan membina semula dua jambatan gantung di Kampung Melangkap Baru Kota Belud, yang musnah dalam kejadian banjir kilat di kampung itu pada Jumaat lalu.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata pembinaan jambatan baharu itu akan melibatkan kos peruntukan daripada kerajaan negeri sendiri.

“Saya telah mendengar taklimat daripada Pegawai Daerah Kota Belud dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berkenaan banjir di Kota Belud baru-baru ini, berkaitan dua jambatan gantung yang runtuh itu, kami akan terus bina,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri faham dengan masalah yang dihadapi penduduk kampung itu dan beliau telah mengeluarkan arahan kepada JKR agar mempercepat proses pembinaan supaya nadi perhubungan utama penduduk itu dapat disiapkan segera.

“Infrastruktur lain yang rosak akibat banjir seperti jalan raya dan lain-lain kami akan minta kerajaan persekutuan menyediakan peruntukan untuk membaikinya dengan kadar segera kerana ini semua untuk rakyat,” kata Musa.

Pada 7 Ogos, banjir kilat yang membawa lumpur berlaku dan merupakan banjir keempat sejak bencana gempa Sabah pada Jun lalu.

Banjir yang melanda beberapa kampung termasuk Kampung Melangkap Baru telah menyebabkan jalan utama ke Kampung Melangkap itu terputus dan lebih 2,000 penduduk terperangkap, selepas jambatan gantung di kampung itu runtuh dan dibawa arus.

Banjir itu turut menghanyutkan inap desa, gereja dan rumah kebun, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.