Dua kakitangan kedutaan Serbia diculik

Dua kakitangan kedutaan Serbia diculik

BELGRADE, 9 Nov (Agensi) – Dua pekerja kedutaan Serbia dilaporkan diculik di pantai Sabratha di Libya ketika mereka sedang menyertai satu konvoi menuju Tunisia.

Bagaimanapun Duta Serbia ke Libya turut dalam konvoi sama namun menaiki kereta berlainan ketika kejadian berlaku kira-kira 100 kilometer dari sempadan utama menyeberangi Libya ke Tunisia.

Kementerian Luar Serbia dalam satu kenyataan hari ini berkata, kakitangan kedutaan masing-masing lelaki dan wanita itu dikenali sebagai Sladjana Stankovic, yang bertugas di bahagian komunikasi dan Jovica Stepic, seorang pemandu.

“Serangan penculikan itu adalah pertama kali berlaku ke atas kenderaan kedutaan apabila kereta mereka dilanggar dari belakang.

“Pemandu memberhentikan kenderaan dan pergi melihat apa yang berlaku sebelum dia diheret masuk ke satu kenderaan lain,” kata Duta Serbia, Oliver Potezica kepada agensi berita Tanjug.

Penyerang dikatakan semuanya memakai topeng kemudian mengarahkan kakitangan wanita memasuki kenderaan sebelum memecut laju. Potezica berkata, penyerang turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah konvoi Serbia dan salah satu tembakan mengenai kakinya.

Sementara itu, Perdana Menteri Serbia, Aleksandar Vucic memberitahu stesen penyiaran RTS bahawa beliau sudah menghubungi pegawai Libya mengenai penculikan itu dan menjangkakan menerima makluman positif dalam tempoh 48 jam.

Namun Menteri Liar Serbia, Ivica Dacic sebelum itu memberitahu, mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai identiti penculik. “Tiada siapa yang menghubungi kami lagi untuk menyatakan tuntutan. Kami terus memantau keadaan,” katanya.