Dua kapal disyaki terbabit rompak MT Joaquim

Dua kapal disyaki terbabit rompak MT Joaquim

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Pihak berkuasa maritim Malaysia, Indonesia dan Singapura sedang menjejaki dua buah kapal yang disyaki terbabit dalam rompakan kapal tangki MT Joaquim, yang membawa muatan 3,500 tan minyak mentah marin bernilai RM2.8 juta, Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata ia susulan penahanan sebuah kapal tangki yang membawa muatan minyak berhampiran perairan Dumai di Indonesia oleh pihak berkuasa maritim negara itu pada Isnin lepas.

Berikutan itu, APMM menggerakkan dua pesawat ke perairan Malaysia di Selat Melaka untuk menjejaki kedua-dua kapal berkenaan.

“Setakat ini, ia tiada dalam perairan Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat kedua penyelarasan operasi penguatkuasaan maritim bersama APMM, Badan Keamanan Laut Indonesia (Bakamla) dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) di sini, hari ini.

Ahmad Puzi yakin kerjasama maritim Indonesia, Singapura dan Malaysia membolehkan kedua-dua kapal itu dijejaki dalam masa terdekat.

Kapal Tangki MT Joaquim yang didaftarkan di Singapura, hilang pada malam Sabtu ketika dalam pelayaran ke Langkawi dari Tanjung Pinang, Indonesia.

Ia ditemui semula di kedudukan 14 batu nautika Timur, Pulau Rupat, Indonesia pada pagi Ahad tanpa muatan kargonya.

Ahmad Puzi berkata pihak berkuasa maritim Indonesia sedang menjalankan siasatan termasuk menganalisis kandungan minyak yang dibawa kapal itu, yang ditahan pada Isnin lepas, bagi menentukan sama ada ia sepadan dengan minyak mentah yang dibawa MT Joaquim.

“Ini (proses menganalisis kandungan minyak) mungkin mengambil masa empat hingga lima hari,” katanya.

Mengenai mesyuarat kedua penyelarasan itu, Ahmad Puzi berkata ia merupakan platform terbaik bagi ketiga-tiga agensi penguatkuasaan maritim berkenaan saling bertukar pendapat dan pendekatan berkesan bagi memastikan perairan persempadanan laluan pelayaran antarabangsa sentiasa aman dan selamat kepada komuniti maritim. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA