Dua keluarga terima rumah baru

Dua keluarga terima rumah baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt – Hasrat seorang wanita warga emas dan saudara baru perempuan, untuk mempunyai rumah yang selesa dan selamat untuk didiami oleh mereka sekeluarga kini menjadi kenyataan apabila menerima anak kunci bagi rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di Kampung Mulaut, Jalan Kilanas Mulaut, hari ini.

Pembinaan rumah bantuan itu bukan sahaja akan memberikan mereka sekeluarga sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami tetapi ia merupakan satu hadiah yang istimewa dan amat bermakna bagi mereka.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Anak Kunci Rumah Bantuan Skim Perumahan Yayasan bagi Dayang Suzilawati binti Umar Abdul Aziz @ Rupiah anak Egoh dan Dayang Fatimah binti Haji Jumat, telah diadakan secara berasingan di rumah bantuan masing-masing di Kampung Mulaut.

Hadir untuk menyempurnakan majlis memulakan tiang rumah berkenaan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kerajaan yang berkenaan serta pegawai dan kakitangan Yayasan.

Rumah lama Dayang Fatimah yang sudah usang.
Rumah lama Dayang Fatimah yang sudah usang.
Rumah bantuan baru bagi Dayang Fatimah dan keluarganya.
Rumah bantuan baru bagi Dayang Fatimah dan keluarganya.

Majlis penyerahan mula-mula diadakan di rumah bantuan baru bagi Dayang Suzilawati di mana beliau menerima anak kunci yang diserahkan oleh Haji Brahim.

Dayang Suzilawati merupakan seorang saudara baru dan ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah. Beliau tidak mempunyai pekerjaan dan mana-mana pendapatan yang tetap bagi menyara kehidupan harian mereka.

Sebelum mendapat rumah bantuan itu, beliau tinggal di sebuah rumah banglo kecil yang usang dan serba kekurangan. Rumah bantuan yang diterima oleh Dayang Suzilawati mempunyai tiga buah bilik tidur dilengkapi dengan bilik tamu, dapur serta tandas.

Pemberian rumah bantuan ini dihasratkan bagi memberi peluang kepada keluarga Dayang Suzilawati untuk memperbaiki taraf kehidupan di samping dapat meneruskan dan menghayati kehidupan sebagai seorang Islam dengan sempurna dan dapat melaksanakan kewajipan terhadap Allah Subhanahu Wata’ala dalam keadaan yang selesa dan aman.

Sementara itu, di majlis yang berasingan, Haji Brahim telah menyampaikan anak kunci rumah bantuan kepada Dayang Fatimah yang berusia 66 tahun.

Keadaan rumah Dayang Fatimah yang lama adalah dalam keadaan daif dan usang serta beliau merupakan seorang suri rumah tangga yang hanya mengharapkan pencen tua sebanyak $250 sebulan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Suami beliau, Awang Ahmad bin Abdullah merupakan seorang warga emas berusia 63 tahun yang berstatus penduduk tetap dan masih berkhidmat sebagai buruh di Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan dibayar gaji hari dan pendapatan sekeluarga yang diperoleh hanyalah cukup untuk menampung perbelanjaan harian.

Pasangan suami isteri itu mempunyai empat orang anak dan kesemuanya telah berkahwin dengan dua daripadanya masih tinggal bersama sebumbung.

Haji Brahim (kanan) menyerahkan anak kunci kepada Dayang Fatimah.
Haji Brahim (kanan) menyerahkan anak kunci kepada Dayang Fatimah.
Haji Brahim menyerahkan anak kunci rumah kepada Dayang Suzilawati (kiri).
Haji Brahim menyerahkan anak kunci rumah kepada Dayang Suzilawati (kiri).

Sebelum ini, Dayang Fatimah dan keluarga pernah berusaha membina rumah baru sendiri namun memandangkan kewangan yang tidak mencukupi, maka pembinaan berkenaan terbengkalai.

Awang Ahmad memberitahu Media Permata bahawa mereka sekeluarga amat bersyukur dan gembira dengan bantuan yang dihulurkan, kerana bukan sahaja impian untuk mempunyai rumah sendiri yang baru sudah tercapai tetapi kini mereka mempunyai sebuah rumah yang selesa dan selamat untuk didiami.

Awang Ahmad berkata lagi bahawa rumah baru itu akan didiami beliau dan isteri serta dua orang anak bersama keluarga mereka masing-masing kesemuanya 10 orang.

Menurut beliau, rumah lama yang sudah usang itu telah didiami oleh mereka sekeluarga lebih 30 tahun yang lalu iaitu pada 1983 dan kini dengan rumah bantuan yang baru itu, beliau sekeluarga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia rumah bantuan tersebut.

Rumah bantuan itu berkonsepkan tiga buah bilik tidur yang dilengkapi dengan bilik tamu, dapur dan tandas yang mana pembinaannya memakan masa tempoh tiga bulan untuk disiapkan.

Pembinaan rumah bantuan di bawah Skim Perumahan Yayasan merupakan salah satu projek yang dilaksanakan oleh Yayasan sebagai usahanya untuk mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat di Brunei selaras dengan dasar dan tujuan penubuhan Yayasan.

Rumah-rumah bantuan di bawah skim ini dikhususkan kepada saudara-saudara baru dan mereka yang daif serta tidak berkemampuan mendirikan rumah sendiri. Ia dikurniakan secara percuma kepada para penerima yang layak mengikut kriteria-kriteria yang telah ditetapkan oleh Yayasan.

Pembinaan rumah bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan dihasratkan untuk memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan yang selesa, bersih dan selamat bagi mewujudkan kehidupan berkeluarga yang aman dan harmoni.

ARTIKEL YANG SAMA