Dua kereta api bertembung di Jerman

Dua kereta api bertembung di Jerman

BAD AIBLING, Jerman, 9 Feb – Sembilan orang terbunuh dan lebih daripada 100 orang cedera apabila dua kereta api penumpang berlanggar berdekatan bandar spa Bavaria kira-kira 60 km (37 batu) dari tenggara Munich hari ini, menurut seorang anggota polis Jerman.

Dalam kalangan 108 mengalami kecederaan, 18 orang dalam keadaan parah, selepas pertembungan itu berlaku pada waktu sibuk komuter 6.48 pagi (waktu setempat) berdekatan Bad Aibling di selatan negeri Bavaria berdekatan sempadan dengan Austria. Salah sebuah kereta api tergelincir.

Puluhan pasukan penyelamat berada di tapak kejadian dan helikopter membawa beberapa mangsa ke hospital-hospital berdekatan. Kawasan tersebut kini ditutup dan bersama kerja-kerja menyelamat, siasatan kemalangan telah dimulakan, ujar pihak polis.

Pengendali kereta api tersebut, Meridian, adalah sebahagian firma pengangkutan penumpang Perancis Transdev, di mana ia milik bersama bank CDC dan firma air dan sisa Veolia.

Transdev berkata dalam satu keterangan bahawa pihak pengurusan dan kakitangan amat terkejut dengan “kemalangan luar biasa itu” dan kini Ketua Eksekutif Jean-Marc Janaillac berada di tempat kejadian.

Usaha-usaha menyelamat yang dijalankan di kawasan nahas. – Reuters
Usaha-usaha menyelamat yang dijalankan di kawasan nahas. – Reuters

Menteri Pengangkutan Jerman Alexander Dobrindt, juga berada di tempat nahas, berkata ia belum jelas sama ada ia berlaku diakibatkan oleh masalah teknikal atau kesilapan manusia.

Deusche Bahn merupakan syarikat bertanggungjawab ke atas landasan tersebut. Landasan itu mempunyai sistem yang membuatkan kereta api berhenti secara automatik jika ia melalui lampu merah.

Pihak polis akan mengadakan sidang media tapi ia telah ditangguhkan dari waktu yang dijangkakan pada jam 12 tengah hari waktu setempat.

Meridian merupakan syarikat yang mengendalikan kereta api, trem dan rangkaian bas di 19 negara dan mempunyai pendapatan 6.6 bilion euro (AS$7.4 bilion) pada 2014. – Reuters