Dua kerusi Bidayuh dalam Dun baharu – Adenan

Dua kerusi Bidayuh dalam Dun baharu – Adenan

SERIAN, 22 Dis (Bernama) – Masyarakat Bidayuh di Sarawak diperuntukkan dua kerusi baharu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), di samping enam kerusi yang sedia ada sebagai menghargai sokongan kuat masyarakat itu kepada Barisan Nasional (BN) selama ini.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata dua kerusi baharu itu ialah Bukit Semuja dan Serumbu, manakala enam kerusi sedia ada ialah Bengoh, Tarat, Tebedu, Kedup, Tasik Biru dan Opar. Berucap pada majlis penyerahan Warta Rizab Gunasama Bumiputera dan Penyampaian Sijil Surat Hakmilik Kampung Tradisi kepada lebih 500 penerima di sini hari ini, beliau sehubungan itu menyeru kaum Bidayuh agar terus memberi sokongan penuh kepada BN pada pilihan raya negeri akan datang.

Warta Rizab Gunasama Bumiputera diberi mengikut Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Sarawak di bawah inisiatif baharu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) manakala Surat Hak Milik Kampung Tradisi pula mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Sarawak.