Dua kes terbaru strok haba dilaporkan

Dua kes terbaru strok haba dilaporkan

PUTRAJAYA, 22 Mac – Kementerian Kesihatan menerima 29 laporan masalah kesihatan berkaitan cuaca panas melampau termasuk dua kes terbaru strok haba, kata Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata kes terbaru strok haba itu masing-masing dilaporkan di Kedah dan Perak dan dengan ini menjadikan jumlah kes strok haba kepada lima setakat ini.

Katanya sebelum ini dua kes strok haba dilaporkan di Selangor manakala satu kes di Johor melibatkan kematian pesakit.

“Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar mengelak melakukan aktiviti di luar bangunan dan aktiviti fizikal intensif terutamanya pada siang kerana kebanyakan kes strok haba dan keletihan strok berpunca daripada aktiviti fizikal intensif,” katanya selepas majlis pelancaran Pusat Penilaian Risiko bagi Keselamatan Makanan ASEAN di sini hari ini.

Minggu lepas, seorang pelatih di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat menjadi mangsa pertama yang meninggal dunia akibat strok haba setelah pitam semasa menjalani latihan di trek padang tertutup. – Bernama