Dua komando dituduh galak keahlian dalam kumpulan IS

Dua komando dituduh galak keahlian dalam kumpulan IS

KOTA TINGGI, 15 Sept (Bernama) – Dua komando dari Kem Rejimen 21 Komando Sungai Udang, Melaka dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas IS, Ogos tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Zuraidi Shafiq Zulkeflee, 27, dan Muhammad Adibzakir Zahri, 28, menganggukkan kepala memahami pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mereka didakwa menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas itu di Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, dekat Mersing pada Ogos 2014.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130G(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mazana menetapkan kes tersebut disebut semula pada 21 Okt depan di Mahkamah Majistret Mersing. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib.