Dua kumpulan mukun harumkan nama negara

Dua kumpulan mukun harumkan nama negara

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Jun – Dua buah kumpulan mukun yang mewakili negara kita telah mencipta sejarah, apabila masing-masing berjaya merebut tempat teratas dalam Pertandingan Fiesta Mukun 2015 Bekenu Sibuti anjuran RTM Miri FM, baru-baru ini. Kumpulan Mukun Selindang Sutera A Brunei Darussalam dinobatkan sebagai juara, manakala naib juara diraih oleh Kumpulan Selindang Sutera B dalam pertandingan mukun yang diadakan di Dewan Bola Keranjang Pekan Bekenu Sibuti, Miri, minggu lalu.

Sementara itu, tuan rumah Bekenu mendapat tempat ketiga Awang Irwan Rino yang mengetuai Kumpulan Selendang Sutera A, hari ini, memberitahu beliau turut menerima anugerah bagi Kategori Pemantun Terbaik.

“Kami merasa gembira dan tidak menyangka apabila keputusan diumumkan bahawa kedua-dua kumpulan daripada negara kita menerima kemenangan di tempat pertama dan kedua dalam pertandingan tersebut, biarpun mendapat tentangan hebat daripada seramai 20 peserta terdiri daripada mereka yang mewakili Daerah Bintulu, Mukah, Miri, Labuan dan Limbang serta peserta tuan rumah sendiri,” ujar beliau.

Awang Irwan Rino yang sudah tidak asing lagi dengan kehebatannya berpantun secara spontan turut memberitahu Media Permata bahawa mereka menyangka hanya akan mendapat tempat ketiga atau keempat, bagaimanapun dengan berbekalkan semangat, pengalaman, latihan yang cukup, serta atas penilaian yang telah dibuat akhirnya mereka berjaya.

Kumpulan juara telah membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM800 manakala naib juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM600 berserta piala iringan dan turut menerima bungkusan hamper kepada Anugerah Pemantun Terbaik.

Mengetuai Kumpulan Mukun Selindang Sutera A, Awang Irwan Rino (kiri) turut dinobatkan penerima Anugerah Pemantun Terbaik.
Mengetuai Kumpulan Mukun Selindang Sutera A, Awang Irwan Rino (kiri) turut dinobatkan penerima Anugerah Pemantun Terbaik.
Kedua-dua Kumpulan Mukun Selindang Sutera A Brunei Darussalam dan Kumpulan Selindang Sutera B, memenangi Juara dan Naib Juara dalam Pertandingan Fiesta Mukun 2015 Bekenu Sibut.
Kedua-dua Kumpulan Mukun Selindang Sutera A Brunei Darussalam dan Kumpulan Selindang Sutera B, memenangi Juara dan Naib Juara dalam Pertandingan Fiesta Mukun 2015 Bekenu Sibut.

Pertandingan tersebut merupakan kali ketiga disertai dalam tahun ini, setelah menjadi naib juara di Pertandingan Mukun anjuran Pustaka Cawangan Miri bulan Mei lalu, dan menjadi johan pada Pertandingan Bermukun Daerah Limbang sempena Projek Singgah Lok Ke Limbang FM pada April lalu.

Berpasangan dengan Awang Irwan Rino, ialah Awang Wan Zuraimi bin Julaihi manakala, pasangan daripada Kumpulan Selindang Sutera B ialah Awang Abdul Latip bin Haji Ajak dan Awang Mohd Adi Azizul bin Salleh.

Beliau juga memberitahu pertandingan yang disertai pada tahun ini, mengetengahkan penglibatan generasi muda dalam memperkenalkan budaya Mukun Brunei supaya ia tidak akan hilang ditelan zaman.

“Kami juga telah berusaha untuk membimbing para belia untuk berjinak-jinak meminati budaya tradisi bermukun, dan kumpulan kami ini akan meneruskan lagi pertandingan yang akan diadakan di gelanggang sendiri di Daerah Belait bagi Pertandingan Pesta Mukun untuk perayaan bulan Ogos sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 tahun,” ujarnya.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan bermukun di Bekenu, baru-baru ini, ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan N62 Adun Lambir Bekenu Sibuti, Yang Berhormat Ripin bin Haji Lamat.

ARTIKEL YANG SAMA