Dua lagi ditahan dalam insiden Nice

Dua lagi ditahan dalam insiden Nice

NICE, Perancis, 17 Julai – Para penyiasat Perancis telah menangkap dua orang lagi hari ini ketika mereka mencantumkan butiran tentang motif dan persediaan bagi warga Tunisia yang merempuhkan traknya ke khalayak ramai dalam serangan yang didakwa IS yang membunuh 84 orang.

Mohamed Lahouaiej-Bouhlel mengunjungi tempat persiaran Nice itu bersama trak yang disewanya dua hari sebelumnya dia merempuhkan kenderaan itu kepada orang ramai yang menyaksikan bunga api Hari Bastille di bandar French Riviera pada malam Khamis, menurut sumber terdekat dengan siasatan itu.

Mayat yang berkecai berselerak di seluruh dermaga yang menjadi sejarah, termasuk kanak-kanak dalam serangan mengerikan oleh seorang lelaki yang digambarkan oleh mereka yang mengetahui dirinya sebagai penyendiri dengan kecenderungan ke arah keganasan dan depresi.

Sementara beberapa keluarga dan rakan-rakan menggambarkan lelaki berusia 31 tahun itu sebagai seorang yang kuat merokok, peminum dan tidak mahu pergi ke masjid, sementara yang lain telah disiasat oleh polis menunjukkan dia mengalami ‘perubahan kepada radikal Islam baru-baru ini’, menurut sumber polis.

Bagaimanapun tidak ada bukti terang-terangan yang mengaitkannya dengan kumpulan Islamic State (IS), yang pada Sabtu mendakwa melakukan serangan itu.

Seorang wanita melihat ke arah pantai dan Promenade des Anglais di bandar Nice, Perancis pada 17 Julai, tiga hari selepas serangan maut pada Hari Bastille. – AFP
Seorang wanita melihat ke arah pantai dan Promenade des Anglais di bandar Nice, Perancis pada 17 Julai, tiga hari selepas serangan maut pada Hari Bastille. – AFP

Di Nice, ramai lagi yang masih terdesak mencari berita mengenai orang tersayang mereka yang meninggal dunia dan 121 lagi masih dirawat di hospital.

“Kami tidak mendapat berita, sama ada baik atau buruk,” kata Johanna dari Lithuania, yang mencari dua rakannya, berusia 20 tahun.

Kira-kira 10 kanak-kanak antara yang terbunuh serta pelancong dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine, Switzerland dan Jerman dan kira-kira 10 dari Rusia, kata persatuan Rusia tempatan.

Pada hari ini juga, seorang lelaki dan seorang wanita telah ditangkap dan ditahan bersama empat orang lagi yang ditangkap pada hari sebelumnya. Bekas isteri Lahouaiej-Bouhlel telah dibebaskan selepas dua hari disoal siasat.

Antara yang ditahan itu adalah suspek berusia 22 tahun yang disyaki menyalurkan sokongan logistik kepada Lahouaiej-Bouhlel, kata peguamnya Jean-Pascal Padovani.

Menurutnya kedua-duanya hanya mengenali antara satu sama lain beberapa bulan dan ‘tidak ada bukti material’ ke atas klien mereka.

Walaupun dia mempunyai rekod terdahulu melakukan jenayah remeh-temeh, Lahouaiej-Bouhlel tidak pernah ada dalam radar khidmat perisikan yang berkaitan dengan radikal Islam. – AFP