Dua lagi jaguh pedang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Awang Haziq bin Asahrin dari Pasukan Daerah Brunei dan Muara muncul johan dalam Kategori Sabre Individu Lelaki, sementara Hajah Anis Sabrina binti Yahya juga dari Pasukan Daerah Brunei dan Muara, muncul Johan dalam Kategori Foil Individu Wanita dalam Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei 2018, hari ini.

Dalam aksi akhir Kategori Sabre Individu Lelaki, Awang Haziq berjaya mengalahkan saingan terdekatnya Awang Yunus bin Hamid dari Majlis Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, sekali gus merangkul pingat emas.

Manakala Awang Anaqi Danish bin Asahrin dan Awang Hardiwan Shah bin Rahim, kedua-duanya dari Pasukan Daerah Brunei dan Muara berkongsi pingat gangsa dalam kategori tersebut.

Sementara itu, dalam aksi akhir Kategori Foil Individu Wanita pula menyaksikan Hajah Anis Sabrina merangkul pingat emas setelah berjaya mengalahkan rakan sepasukannya, Dayang Eleena binti Anuar yang terpaksa akur menerima pingat perak.

Antara aksi atlet pada hari kedua Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei 2018 yang berlangsung kelmarin. – Gambar oleh Khairil Hassan

Berkongsi pingat gangsa bagi kategori tersebut adalah Dayang Maisar binti Mahusin dari Pasukan Daerah Brunei dan Muara, dan Belinda Francis dari pasukan jemputan Malaysia.

Hadir menyempurnakan penyampaian pingat serta sijil di acara kejohanan tersebut ialah Presiden Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalam, Haji Kassim bin Awang Bakar.

Manakala pada perlawanan yang akan diadakan esok menyaksikan kejohanan Kategori Epee Individu Lelaki dan Foil Individu Wanita.