Dua lagi korban letupan di Afghan

Dua lagi korban letupan di Afghan

JALALABAD, Afghanistan, 13 Jan (AFP) – Pengeboman berani mati diikuti dengan tembakan senjata meletus hari ini berhampiran konsul Pakistan di bandar Jalalabad, Afghanistan, membunuh dua orang dalam serangan berterusan beberapa hari selepas rundingan empat negara untuk menghidupkan semula rundingan damai Taliban.

Serangan itu mengakibatkan pelajar-pelajar yang ketakutan di sekolah bersebelahan lari meninggalkan sekolah mereka, yang juga berhampiran misi diplomatik India.

Setakat ini tidak ada pihak mengaku bertanggung jawab bagi serangan itu, yang berlaku selepas siri-siri serangan ke atas pangkalan India di rantau itu.

“Dua anggota polis terbunuh selepas serangan itu yang diikuti dengan tembakan senjata,” jurucakap kementerian dalam negeri Najib Danish memberitahu AFP.

“Kejadian itu berlaku berhampiran konsul Pakistan, tetapi kami tidak pasti jika ia sasaran yang dihasratkan.”

Para pegawai keselamatan Afghan memeriksa bangunan yang digunakan oleh penyerang untuk melancarkan serangan ke atas konsulat Pakistan di Jalalabad, semalam. - AFP
Para pegawai keselamatan Afghan memeriksa bangunan yang digunakan oleh penyerang untuk melancarkan serangan ke atas konsulat Pakistan di Jalalabad, semalam. – AFP

Pejabat luar Pakistan berkata dalam satu kenyataan ia telah berhubung dengan pihak kedutaannya di Kabul dan juga para pegawai Afghan, tetapi tidak dapat memberikan maklumat lanjut.

Kepentingan India telah menjadi sasaran dua kali bulan ini dalam serangan hebat – serangan ke atas konsul di Mazar-i-Sharif, Afghanistan dan serangan oleh pemberontak Islam ke atas pangkalan tentera udara di Punjab, negeri utara India.

Bom kecil juga meledak berhampiran konsul India di Jalalabad lewat semalam, tetapi tidak ada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Peningkatan dalam keganasan berlaku selepas Perdana Menteri India Narendra Modi mengadakan lawatan perdamaian mengejut ke Pakistan bulan lalu ekoran lawatan ke Kabul.

India telah menjadi penyokong utama kerajaan Kabul selepas kerajaan Taliban, dan para penganalisis kerap menekankan tentang ancaman ‘perang proksi’ di Afghanistan antara India dan Pakistan.

ARTIKEL YANG SAMA