Dua lagi produk kosmetik tercemar

Dua lagi produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan produk kosmetik Lyanaz Beauty Care Angel Pink Beauty is Forever Fast Glowing – Angel Night (gambar) dan Moleek Skincare – Day Cream.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa hasil daripada ujian makmal Perkhidmatan Makmal Farmasi, Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan mendapati bahawa dua produk tersebut dicemari bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Lyanaz Beauty Care Angel Pink Beauty is Forever Fast Glowing – Angel Night yang dikilangkan oleh Lyanaz Beauty Care Sdn Bhd dan Moleek Skincare – Day Cream yang dikilangkan oleh Sejagat Global Resources dicemari merkuri.

Menurut kenyataan itu lagi, bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri merupakan bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk tersebut.Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau menggunakan produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya serta merta.

Jika mereka mengalami kesan buruk dan berasa tidak sihat selepas menggunakan produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

ARTIKEL YANG SAMA