Dua legenda golf ketuai Asia dan Eropah

Dua legenda golf ketuai Asia dan Eropah

PETALING JAYA, 28 Sept (Bernama) – Legenda golf, Darren Clarke dan Jeev Milkha Singh masing-masing dipilih sebagai ketua pasukan Eropah dan Asia pada saingan Piala EurAsia yang akan berlangsung di Glenmarie Golf and Country Club di Subang dari 15 hingga 17 Jan 2016.

Jeev, 44, yang memenangi Jelajah Asia Order of Merit 2006 dan 2008, berkata beliau teruja dipilih sebagai ketua pasukan Asia pada Piala EurAsia, dan percaya pemain Asia kini mampu bersaing dan memberi tentangan kepada pemain Eropah pada kejohanan berkenaan.

“Terdapat banyak pemain Asia bertaraf dunia. Kami mempunyai banyak pemain beraksi pada Piala Presiden tahun ini yang membuktikan betapa hebatnya pemain ini sekarang.

“Saya mahu mereka berfikiran positif bagi menaikkan semangat pasukan agar kita boleh memperoleh keputusan yang baik,” kata Jeev dalam temuramah video pada sidang media Piala EurAsia 2016 di Glenmarie Golf and Country Club di Subang hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Profesional Golf Malaysia (PGM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-Hicom Berhad, Datuk Mohamed Razeek Md Hussain.

DRB-HICOM Berhad sekali lagi menjadi rakan Piala EurAsia 2016.

Jeev, bekas pemain nombor satu Jelajah Asia telah memenangi 20 gelaran dunia termasuk empat Jelajah Eropah.

Sementara itu, Clarke, 47, dari Ireland, percaya pemilihannya sebagai ketua pasukan Piala EurAsia dapat memberikan pengalaman tidak ternilai kerana beliau akan berusaha untuk terus mencatat rekod cemerlang pemain Eropah pada Piala Ryder.