Dua lelaki diberkas, ekstasi bernilai lebih RM28,000 dirampas

Dua lelaki diberkas, ekstasi bernilai lebih RM28,000 dirampas

SIBU, 21 Ogos – Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Sibu merampas 569 pil disyaki ekstasi dianggarkan bernilai RM28,450 daripada dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahari Abdullah berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang memandu sebuah van di Jalan Hou Ping di sini kira-kira pukul 1.50 petang.

“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menjumpai 209 biji pil pelbagai warna dianggarkan bernilai pasaran RM10,450,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata tangkapan itu kemudiannya membawa kepada satu serbuan ke atas sebuah premis di Lorong 10, Jalan Cherry di sini dan seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan.

“Hasil pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik lut sinar berisi 310 biji pil berwarna biru, satu paket plastik lut sinar berisi 10 biji pil warna biru dan satu paket plastik lut sinar berisi 40 biji pil warna oren. Kesemua pil disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya.

Saiful berkata, nilai pasaran untuk 360 biji berjaya dirampas itu dianggarkan sekitar RM18,000. – Bernama