Dua lelaki didakwa atas 3 kesalahan

Dua lelaki didakwa atas 3 kesalahan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151112_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Dua lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan, memiliki senjata dan menceroboh.

Mat Salleh bin Haji Ismail, 45, berdepan dakwaan mencederakan seorang lelaki menggunakan senjata ‘Katana’ di Kampung Perpindahan Lambak Kanan pada 2 November 2015 kira-kira jam 8 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22, yang membawa kepada penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun dan sebat.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan memiliki senjata ‘Katana’ pada tempat dan tarikh yang sama, dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, yang memperuntukkan penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan.

Manakala itu, Murni bin Haji Ismail, 43, didakwa menceroboh dengan niat untuk menyebabkan kecederaan, juga pada tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa penjara yang boleh dilanjutkan sehingga satu tahun dan denda.

Dia juga berdepan pertuduhan memiliki senjata berupa kapak pada tempat dan tarikh yang sama di mana dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148, yang memperuntukkan penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta tidak kurang daripada tiga sebatan.

Dalam sebutan, kedua-dua tertuduh memohon kepada mahkamah untuk dilepaskan dengan ikat jamin di mana Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metusain membenarkan permohonan itu dengan menetapkan $5,000 atau dua orang penjamin tempatan untuk setiap seorang.

Hakim menetapkan 14 November untuk sebutan semula.