Dua lelaki didakwa sokong kegiatan pengganas

Dua lelaki didakwa sokong kegiatan pengganas

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini dan Ampang hari ini atas pertuduhan memberi sokongan kepada kegiatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, penghantar surat Fazar Nor Md Reduan, 33, didakwa memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas melibatkan penggunaan bahan letupan.

Perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan perbuatan tersebut dianggap untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram di dalam telefon bimbit jenis Samsung S4 miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah Blok 11, AU 3/1, Ulu Kelang, di sini, pada April hingga 28 Jun lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Fazar Nor didakwa memiliki item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan Kumpulan Pengganas Islamic State (IS) di hadapan Liberty Insurans Berhad Taman Danau Kota, Off Jalan Genting Klang, di sini, pada 1.20 petang, 28 Jun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau boleh dilucut hak mana-mana item tersebut, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Radziah Kamarudin menetapkan 7 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA