Dua lelaki disyaki mencuri dan pecah rumah

Dua lelaki disyaki mencuri dan pecah rumah

KUCHING, 11 Sept (Bernama) – Polis menahan dua orang lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa kejadian curi dan pecah rumah di sekitar kawasan Batu Kawa di sini sejak tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar berkata dua orang lelaki berumur 20 dan 23 itu ditahan dua hari lalu, hanya beberapa hari selepas polis menerima laporan mengenai satu kes pecah rumah pada hari Ahad lepas.

Beliau berkata dalam kejadian itu seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa membuat laporan bahawa rumahnya di Taman Malihah dipecah masuk dan beberapa barang berharga seperti komputer riba, telefon bimbit dan kamera dilarikan pada kira-kira 11 malam.

Menurutnya hasil siasatan, polis menahan lima orang suspek di beberapa buah tempat di sekitar Batu Kawa sehingga Rabu lalu, dan dua daripada mereka mengaku terbabit dalam sekurang-kurangnya 16 kejadian pecah rumah sekitar kawasan berkenaan, manakala tiga lagi disyaki terbabit membeli barang curi.

Katanya hasil soal siasat ke atas kedua-dua penagih dadah itu yang pernah ditangkap atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah sebelum ini, polis menemui kembali pelbagai barang yang disyaki barang curi, termasuk milik pegawai PGA yang membuat laporan Ahad lepas.

“Polis percaya lebih banyak lagi kes pecah rumah dan curi dapat diselesaikan dengan tangkapan dua orang suspek ini kerana mereka bergiat aktif sejak tahun lepas. Operasi masih berjalan untuk mengesan lain-lain harta curi yang dijual kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.