Dua lelaki ditahan, berkaitan IS

Dua lelaki ditahan, berkaitan IS

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) – Dua lelaki warga tempatan yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan militan IS di Syria dan merancang melancarkan serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang ditahan dalam dua operasi berasingan sekitar Kuala Lumpur pada 2 dan 7 Julai lepas.

Operasi daripada Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu turut merampas buku-buku mengenai jihad dan fahaman Salafi Jihadi serta resit-resit pembelian barang-barang taktikal pertempuran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek pertama berusia 28 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur yang ditangkap pada 2 Julai dikesan mempunyai hubungan dengan beberapa warga Eropah yang merupakan anggota kanan kumpulan IS di Syria.

“Sejak pertengahan 2014, dua anggota kanan kumpulan pengganas IS warga Eropah itu telah memberi arahan kepada suspek agar melancarkan serangan ke atas kepentingan barat di Kuala Lumpur dan tempat-tempat hiburan sekitar Lembah Klang.

“Suspek yang mula terdedah dengan ideologi kumpulan militan IS sejak 2012 juga mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Affendi Manaf, rakyat Malaysia yang terbunuh selepas melancarkan serangan bunuh diri di Homs, Syria pada 9 November 2014,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalid berkata suspek kedua berusia 31 tahun, juga berasal dari Kuala Lumpur, yang ditangkap pada 7 Julai pernah menganggotai kumpulan pengganas di Syria antara awal 2014 sehingga Ogos 2014 sebelum kembali ke Malaysia kerana tercedera dalam satu pertempuran di Syria.

“Kedua-dua suspek telah mengadakan beberapa pertemuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sejak penghujung 2014 bagi membincangkan perancangan untuk melancarkan serangan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata tangkapan terbaru yang melibatkan suspek warga tempatan yang merancang untuk melancarkan serangan selepas berkomunikasi dengan anggota kanan IS di Syria merupakan trend terbaru yang amat membimbangkan.

“Ini selari dengan modus operandi serangan terbaru oleh individu-individu yang sama ada bersimpati, terpengaruh dengan ideologi pengganas atau menerima arahan bagi anggota kanan IS di Syria bagi melancarkan serangan di negara masing-masing seperti serangan di Tunisia, Perancis dan Kuwait pada penghujung bulan lepas,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA