Dua lelaki mengaku tidak bersalah atur perolehan harta untuk ISIS

Dua lelaki mengaku tidak bersalah atur perolehan harta untuk ISIS

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini terhadap pertuduhan membabitkan diri dalam mengatur bagi memperoleh harta untuk kumpulan pengganas ISIS.

Mohamad Fauzi Misrak, 36, seorang cef di Singapura, dan Rohaimi Abd Rahim, 39, perunding kewangan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah.

Mereka didakwa bersama-sama melibatkan diri dalam satu pengaturan yang memudahkan perolehan harta bagi Isis dengan mengendalikan akaun Maybank milik Fauzi untuk tujuan keganasan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad cawangan Subang Jaya di Jalan SS15/4D, Subang Jaya, antara Disember 2013 dan Julai 2014.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130P Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman mati jika perbuatan itu menyebabkan kematian, dan jika tidak melibatkan kematian, mereka boleh dipenjarakan sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farez Rahman memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah lain di sini untuk dibicarakan bersama dengan satu kes lain yang dihadapi mereka Seksyen 130G(c) Kanun Keseksaan.

Rohaimi didakwa atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan pengganas ISIS melalui blog Revolusi Islam.com.

Fauzi pula didakwa bersubahat dengan Rohaimi atas tuduhan sama dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan dalam blog Revolusi Islam.com. sebagai medium mencari harta bagi manfaat ISIS. – Bernama