Dua mangsa culik dibebaskan

Dua mangsa culik dibebaskan

KHARTOUM, 7 Jun (AFP) – Dua warga Rusia yang diculik di Darfur Sudan pada Januari lepas sudah dibebaskan oleh penculik mereka, menurut seorang jurucakap Kedutaan Rusia di Khartoum semalam.

Kedua-dua lelaki berkenaan diculik oleh kumpulan yang tidak dikenali berhampiran bandar Zalingei, ibu negeri Darfur tengah, pada 29 Januari.

“Menurut maklumat yang kami dapat daripada Perkhidmatan Perisikan dan Keselamatan Kebangsaan (NISS), mereka dibebaskan di bahagian tengah Darfur pada jam 7:30 pm (1630 GMT),” jurucakap kedutaan Artur Safukov memberitahu AFP.

“Tiada wang tebusan atau penggunaan paksaan dalam urusan pembebasan tersebut. Ia satu pembebasan yang dilaksanakan secara baik,” menurut NISS, kata Safukov, tanpa memberikan maklumat lanjut.

Kedua-dua lelaki berkenaan tiba di Khartoum dari Zalingei pada petang semalam, dan dilaporkan berada dalam keadaan sihat, tambah Safukov.

Sergei Cherepanov (kiri) dan Mikhail Antyufeev, dua warga Rusia yang diculik di wilayah Darfur Sudan pada Januari 2015 selepas dibebaskan pada 6 Jun 2015. – AFP
Sergei Cherepanov (kiri) dan Mikhail Antyufeev, dua warga Rusia yang diculik di wilayah Darfur Sudan pada Januari 2015 selepas dibebaskan pada 6 Jun 2015. – AFP

Mereka digaji oleh syarikat UTair Rusia dan berada di Sudan melaksanakan kontrak bagi misi PBB-AU di Darfur (UNAMID), lapor media Rusia.

Misi tersebut dikerahkan ke wilayah barat pada 2007 untuk melindungi orang awam dan menghantar bantuan ke Darfur, yang terjekas oleh konflik sejak 2003 apabila pemberontak etnik menentang kerajaan kerana tidak berpuas hati dengan layanan serat sebelah.