Dua maut, 50 selamat bas dihanyutkan arus deras di Thailand

NAKHON SI THAMMARAT, 6 Dis – Dua mayat ditemui selepas sebuah bas dihanyutkan arus deras sebelum terbalik ke dalam parit, di Nakhon Si Thammarat malam tadi, lapor agensi berita Thailand (TNA).

Mayat berkenaan dijumpai kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat mengalami kesukaran memandangkan arus air yang deras.

Lima puluh penumpang lain yang terperangkap dalam bas berjaya diselamatkan. Bas malang yang disewa dari Surat Thani itu membawa penumpang menghadiri majlis pengebumian di daerah Tha Sala, Nakhon Si Thammarat.

Nahas berlaku ketika bas dalam perjalanan pulang melalui daerah Sichon, yang dilanda hujan lebat menyebabkan bas hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam parit.

Sebahagian laluan 401, yang menghubungkan Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani di daerah Thasala, masih digenangi air dan tidak boleh dilalui. – Bernama