Dua maut berlanggar dengan bas ekspres

Dua maut berlanggar dengan bas ekspres

KINABATANGAN, 25 Sept (Bernama) – Dua warga Indonesia maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 134 Jalan Sandakan-Lahad Datu, awal pagi ini.

Penunggang motosikal dikenali sebagai Piki Omar, 38, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, digilis tayar belakang bas ekspres.

Pembonceng motosikal, Rizal Riduan, 20-an, yang juga mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, meninggal dunia 9 pagi ini ketika menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat berkata kejadian berlaku pada 2.10 pagi dan siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku ketika bas ekspres terlibat dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Lahad Datu.

Katanya apabila sampai di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa dari arah bertentangan melanggar bahagian tepi sebelah kanan bas ekspres menyebabkan penunggang motosikal tercampak di atas jalan dan digilis tayar belakang sebelah kanan bas ekspres.

Pembonceng motosikal itu (Rizal) dibawa oleh pemandu bas ekspres ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan, katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.