Dua maut dihempap kren

KOTA SAMARAHAN, 11 Ogos – Dua pekerja maut akibat dihempap pelantar kren yang tumbang di tapak projek perumahan Taman Capital Tanjung Tuang di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata mangsa merupakan seorang lelaki dan seorang wanita disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya mangsa lelaki dikenali sebagai Muhammad Bake, 49, berasal dari Kampung Melayu, Kota Samarahan manakala mangsa wanita dikenali sebagai Helen Moyan Lidang dari Kampung Moyan Lidang, Asajaya.

Menurut Tiong, kejadian berlaku kira-kira jam 3:50 petang apabila sebuah kren yang sedang menjalankan kerja-kerja di tapak perumahan berkenaan telah menghempap dua pekerja terbabit.

Beliau berkata operasi mengeluarkan mayat pekerja wanita yang tersepit dilakukan menggunakan dua jentera Kobelco bagi mengangkat pelantar kren tersebut dengan menggunakan kabel, manakala mangsa dikeluarkan dengan menggunakan ‘scoop stretcher’ oleh pihak bomba.

Katanya kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan kesihatan yang tiba di tempat kejadian dan menambah kedua-dua mayat pekerja terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama