Dua maut gempa bumi di Tajikistan

Dua maut gempa bumi di Tajikistan

DUSHANBE, Tajikistan, 8 Dis – Sekurang-kurangnya dua orang maut dan berpuluh-puluh cedera apabila gempa bumi bermagnitud 7.2 melanda kawasan berhampiran tasik beraltitud tinggi di timur Tajikistan, menurut pihak berkuasa negara Asia Tengah itu hari ini.

Gegaran melanda pada jam 7:50 GMT di negara bekas Soviet itu semalam, 108km di bandar barat Murghob pada kedalaman 28 kilometer, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat.

Mangsa yang diketahui terbunuh termasuk seorang pemandu lori dan seorang anggota polis yang membuat perjalanan di sepanjang jalan pergunungan di kawasan pedalaman wilayah itu selepas gempa bumi mencetuskan tanah runtuh, jawatankuasa perkhidmatan kecemasan negara itu memberitahu AFP.

Berpuluh-puluh mangsa lagi mengalami kecederaan, kata jurucakap jawatankuasa berkenaan.

Sekeluarga mangsa gempa bumi bergotong royong membersihkan runtuhan kediaman mereka akibat gempa bumi di Tajikistan. - Agensi
Sekeluarga mangsa gempa bumi bergotong royong membersihkan runtuhan kediaman mereka akibat gempa bumi di Tajikistan. – Agensi

Kenyataan perkhidmatan media istana presiden turut berkata bahawa “lebih 500 buah rumah” musnah dalam gempa bumi tersebut.

Pusat gempa itu terletak hanya 22 kilometer dari Tasik Sarez yang beraltitud tinggi, yang terbentuk berikutan gempa bumi pada 1911 dan mengandungi kira-kira 17 kilometer kubik air, menurut perkhidmatan seismologi Tajikistan.

Sarez dianggap sebagai ancaman besar kepada wilayah itu jika empangannya pecah akibat aktiviti seismos.

Gempa bumi berlaku kira-kira 345 kilometer di timur Dushanbe, ibu negara Tajikistan dan turut dirasai di negara jiran Kyrgyzstan dan Kazakhstan ke utara, selain bahagian utara Afghanistan sehingga ke selatan, Pakistan dan India. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA