Dua maut helikopter rempuh kabel elektrik

Dua maut helikopter rempuh kabel elektrik

MONTREAL, 5 Sept – Dua orang maut dan seorang lagi cedera semalam selepas sebuah helikopter melanggar kabel elektrik di timur Kanada, kata polis.

Pesawat yang membawa tiga penumpang itu terhempas sebelum jatuh ke dalam sungai, menurut jurucakap polis New Brunswick Royal Canadian Mounted (RCMP), Koperal Dan Smith kepada AFP.

“Helikopter itu bertembung dengan beberapa talian kabel elektrik di sekitar kawasan Flatlands dekat New Brunswick di utara wilayah berhampiran sempadan Quebec,” katanya.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang waktu tempatan (1900 GMT) di kawasan pedalaman bandar itu menyebabkan pesawat malang itu terjunam ke dalam Sungai Restigouche, menurut penyiar awam CBC.

Satu-satunya penumpang yang masih hidup dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan.

Setakat ini RCMP tidak memberikan sebarang maklumat mengenai identiti mangsa asal mahupun destinasi helikopter.

Kemalangan yang berlaku berhampiran bandar Campbellton itu menyebabkan bekalan elektrik ke ribuan kediaman terputus sementara, kata Smith.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada mengumumkan akan menghantar pasukan penyiasat ke lokasi kejadian hari ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA