Dua maut kereta terbabas selepas rai Gawai

Dua maut kereta terbabas selepas rai Gawai

SIBU, 4 Jun (Bernama) – Dua maut di tempat kejadian apabila kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang di Jalan Salim-Stabau di sini pada awal pagi ini.

Menurut jurucakap polis di tempat kejadian, kemalangan pada 2.30 pagi itu membabitkan pemandu kereta tersebut Felix Ningkan Kuri, 32, dan penumpang kereta, Mary Pala Manggai, 29.

Polis bagaimanapun tidak dapat mengesahkan hubungan antara kedua-dua mangsa.

Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan balik selepas meraikan Hari Gawai Dayak di Durin dan menuju ke arah Jalan Salim semasa kejadian.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sibu.