Dua maut, lima cedera dalam kemalangan di Bintulu

Dua maut, lima cedera dalam kemalangan di Bintulu

BINTULU, 2 Jun (Bernama) – Dua terbunuh manakala lima lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Saga dan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di KM34 Jalan Bintulu-Tatau dekat sini, Selasa.

Jurucakap Polis Trafik Bintulu, ketika dihubungi, berkata pemandu kereta Tie Huo Kong, 23, dan penumpangnya Sim Cha Wee, 25, yang terperangkap di tempat duduk masing-masing, mati di tempat kejadian.

Beliau berkata kemalangan pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dipercayai berlaku selepas kereta yang dipandu Tie dari arah Tatau ke Bintulu terbabas dan memasuki laluan bertentangan semasa melalui satu selekoh, lalu berlanggar dengan Toyota Hilux.

Katanya kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Bintulu, manakala pemandu serta semua penumpang Toyota Hilux yang hanya mengalami kecederaan ringan turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, DSP Lim Kwai Seng, yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi Bernama, berkata kejadian sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tatau memberitahu pihaknya mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut.