Dua militan Yahudi dipenjarakan tanpa bicara

Dua militan Yahudi dipenjarakan tanpa bicara

BAITULMAQDIS, 9 Ogos (dpa) – Israel hari ini memenjarakan tanpa perbicaraan dua anggota ultra nasionalis, langkah kedua seumpama itu ke atas suspek militan Yahudi selepas kematian seorang anak damit Palestin dan bapanya dalam serangan ke atas rumah mangsa di Tebing Barat yang diduduki.

Media tempatan melaporkan bahawa Meir Ettinger dan Evyatar diletakkan di bawah “tahanan tadbir” selama enam bulan. Langkah itu kebiasaannya digunakan ke aras militan Palestin dan memerlukan tandatangan Menteri Pertahanan Israel.

Suspek pelampau Yahudi membaling tiga bom api ke arah rumah warga Palestin di kampung Duma pada 31 Julai lepas, mengorbankan anak damit lelaki berusia 18 bulan serta mencederakan ibu bapa serta abang lelakinya. Bapanya meninggal dunia di hospital Israel semalam.

Serangan itu mampu meningkatkan lagi keganasan Palestin dan Israel di Tebing Barat, di mana lebih 300,000 peneroka Yahudi tinggal di kalangan lebih 3.5 juta warga Palestin.

Polis Israel berkata hari ini ia sudah memberkas beberapa suspek ketika serbuan di penempatan Tebing Barat. Bagaimanapun mereka tidak memberikan maklumat lanjut.