Dua operasi rondaan cegah jenayah dijalankan

Dua operasi rondaan cegah jenayah dijalankan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Julai – Dua operasi rondaan pencegahan jenayah telah diadakan secara berasingan tengah malam tadi dengan melibatkan penyertaan gabungan anggota polis dan ahli-ahli pengawasan kejiranan di Daerah Polis Belait, di sini.

Rondaan pertama telah dilakukan di kawasan STKRJ Lorong Tiga Seria yang melibatkan seramai tujuh orang anggota Balai Polis Seria bersama tiga orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung STKRJ Selatan Seria yang diketuai oleh Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, P/ASP Mohd Zulhelmi Azmi bin Dato Paduka Haji Abdul Aziz dan disertai sama Penolong Pegawai Penguasa Balai Polis Seria, P/ASP Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah.

Operasi yang bermula kira-kira pukul 10:30 malam itu turut disertai sama oleh Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Seria, Awang Saidin bin Haji Ibrahim.

Semasa operasi berjalan kaki dan menggunakan kenderaan itu, rombongan telah menahan serta memeriksa mana-mana kenderaan dan orang berjalan kaki yang merayau-rayau serta mencurigakan di kawasan kampung tersebut. Seterusnya rondaan dilakukan di sekitar kawasan Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria.

Sementara itu, secara berasingan, rondaan turut dilakukan di sekitar kawasan Kampung Mumong, dengan melibatkan penyertaan empat orang anggota Balai Polis Kuala Belait dan empat orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung Mumong.

Operasi telah diketuai oleh Bahagian Perhubungan Pengawasan Kejiranan Kuala Belait, Sarjan Jailani bin Haji Johari dan disertai sama oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, yang juga selaku Ketua Kampung Mumong, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin.

Bagaimanapun, kedua-dua operasi rondaan berkenaan tidak mendapati sebarang kes yang berkaitan dengan jenayah. Kedua-dua operasi berakhir kira-kira pukul 1:20 pagi tadi.