Dua pasukan EMRS ditempatkan di laluan Pan Borneo

Dua pasukan EMRS ditempatkan di laluan Pan Borneo

SIBU, 8 Julai (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak akan menempatkan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) di dua lokasi sepanjang laluan Pan Borneo sempena cuti musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pasukan yang masing-masing dengan kekuatan empat anggota dan satu jentera EMRS itu akan ditempatkan di Lachau (Bahagian Sri Aman) dan Simpang Selangau–Mukah (Bahagian Sibu).

“EMRS akan ditempatkan di kedua-dua lokasi tersebut pada masa puncak di mana kenderaan banyak di jalan raya sebelum dan selepas hari raya,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilihan kedua-dua lokasi berkenaan adalah atas faktor kedudukannya yang jauh dari balai bomba dan kadar kemalangan yang tinggi dicatatkan berdasarkan rekod-rekod sebelum ini.

Beliau berkata, 19 lagi jentera EMRS akan diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di balai-balai bomba seluruh negeri ini.

Sementara itu Farhan memberitahu, keadaan musim kering dan panas di negeri ini yang diramalkan berterusan sehingga September merisaukan pihaknya.

“Pada waktu seperti Hari Raya tahun lepas banyak kebakaran terbuka sehingga ada beberapa kawasan tidak dapat dihadiri oleh bomba kerana terpaksa memberi keutamaan kepada kes-kes yang lebih serius,” jelasnya.

Semalam Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohamad memberitahu dilaporkan berkata, sebanyak 131 kes kebakaran hutan dan semak membabitkan kawasan seluas lebih 157 hektar dicatatkan sepanjang tempoh minggu pertama bulan ini.

Daripada jumlah itu lebih 80 hektar membabitkan kebakaran hutan di Kuala Baram, Miri.